Thursday, September 15, 2011

Wahai Sang Hati

Duhai hati...
Mengapa perlu engkau bersedih?
Mengapa perlu engkau tangisi sesuatu yang sudah bukan lagi milikmu?
Mengapa engkau selalu memikirkan tentang sesuatu yang bukan merupakan hal ehwal urusanmu?
Mengapa engkau selalu mahu menyalahi takdir?
Mengapa engkau selalu sukar menerima hakikat realiti?
Mengapa engkau sukar mengerti dan memahami apa yang sedang berlaku?

Wahai sang hati...
Andai engkau mengetahui betapa hebat aturan-Nya,
Pasti engkau akan sabar pada pukulan pertama di atas badai yang melanda dirimu,
Pasti engkau akan redha di atas setiap percaturan-Nya,
Pasti engkau akan yakin dan percaya akan setiap tindakan-Nya ke atasmu hamba yang lemah lagi hina.

Kadangkala kita terlalu inginkan sesuatu,
Tetapi Dia lebih mengetahui,
Kerana barangkali apa yang engkau suka itu tidak baik bagimu,
Dan barangkali sesuatu yang engkau tidak suka itu baik bagimu,
Hebatnya perancangan Rabbul Izzati.

Aduhai kalbu...
Nalurimu meraung-raung sekuat hati demi menggapai secebis keinginanmu,
Dan apabila kau berjaya untuk mendapatkannya,
Kau jadi lupa kepada yang memberikanmu nikmat itu,
Maka kau layari bahtera yang terumbang-ambing itu demi kepuasan dirimu,
Malangnya tiba suatu masa,
Engkau tersungkur di persada jalanan dek kerana terlalu ghairah mengejar duniawi,
Tatkala itu barulah engkau mula mengenal sang Pencipta.

Jatuh tersungkur itu bukan buat selama-lamanya,
Namun itulah api yang menyemarakkan nyalaan obor hatimu,
Itulah perisai diri yang mula untuk memagari dirimu,
Tatkala itu pasti engkau terkedu seketika,
Betapa pintu pengampunan-Nya masih terbuka luas buatmu.

Wanita solehah idaman semua...
Untuk merealisasikannya bukan satu perkara yang mudah,
Tetapi ia sama sekali tidaklah mustahil,
Ayuh kita menjadi seindah mawar berduri


via iluvislam.com

Sunday, September 11, 2011

If the beloved were among us (lyric + translation)

Adakah Segalanya Milikku?

Suatu hari sang guru bertanya kepada murid-muridnya.

Siapa yang jadikan mata kita?

Mereka menjawab : Allah

Lalu sang guru katakan : Lalu apakah yang telah kita perbuat dengan dua biji mata ini ? Adakah sebagai alat untuk melihat perkara yang baik ataupun perkara yang jahat ?

Mereka : (terdiam)

Sang guru tambahi lagi : Apa yang akan jadi sekiranya penglihatan ini diambil oleh-Nya? Selama ini Allah memberi nikmat mata untuk melihat pemandangan yang cantik dan indah. Alam ini dilimpahi dengan pelbagai warna yang menarik hati serta pelbagai hidupan yang menghiasinya.

Suatu hari nanti... jika kita bangun. Alam ini terasa gelap dan pekat. Rupa-rupanya sudah hilang nikmat penglihatan yang diberikan. Sedangkan selama ini kita tidak bersyukur dengan pemberian-Nya. Adakah selepas ini baru hendak menyesal?

Cuba awak rasa lidah dengan menggunakan jari.

Mereka : (memegang lidah masing-masing)

Sang Guru berkata : Allah memberi rasa masam, masin, manis, pahit dan pelbagai lagi rasa yang berlainan melalui lidah.

Mereka kata : Ya Ustaz.. benar (masing-masing menganggukkan kepala).

Sang Guru berkata : Tetapi mengapa kita gunakan lidah untuk berkata kesat, memaki hamun dan berkata bohong? Bukankah dengan lidah ini kamu pernah menghina guru-guru yang mengajarkanmu? Bukankah dengan lidah ini kamu telah membentak dan menjawab kata-kata ibu dan ayahmu serta berkali-kali membohongi mereka berdua?

Bukankah sudah diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. agar menjaga lidah ? Bukankah kita perlu menjaga apa yang ada di antara 2 rongga mulut manusia iaitu lidah ? Dengan lidah ini juga boleh menyebabkan kita dicampakkan ke dalam neraka?

Mereka : (tertunduk dan perlahan-lahan mengalirkan air mata)

Cuba lihat dua tangan yang Allah beri, dan lihat baik-baik alangkah cantiknya kurniaan Allah.
Dia memberi tangan agar kita dapat merasa, memegang, menyentuh dan sebagainya.

Mereka : (melihat tangan masing-masing, diperhati telapak tangan sambik berfikir)

Sang guru berkata : Adakah kita sudah menggunakan tangan dengan betul? Bukankah ada tangan-tangan yang merosakkan meja sekolah? Memukul kawan? Menulis surat cinta? Mencuri ?

Mereka : Benar ustaz... ya Allah... ampunkanlah dosa kami....

Sang Guru : Allah memberi sepuluh jari tangan, sepuluh jari kaki dalam keadaan yang sempurna. Sudahkah kita menadahkan tangan meminta keampunan kepada-Nya? Menyatakan syukur terhadap-Nya atas segala nikmat yang tidak mampu ditulis hatta kering 7 lautan?

Mereka : (Air mata semakin meluncur laju). Ya Allah... Aku sudah banyak buat dosa kepada-Mu.. Aku sombong pada-Mu Ya Allah.....

Lihatlah pula kedua kaki yang dikurnia oleh Allah. Kita boleh berjalan, berlari, bergerak dengan mudah ke sana sini.

Mereka : (memegang kaki masing-masing sambil mengusap-usap jejari kaki).

Sang Guru : Lalu apa yang kita perbuat dengan kaki yang ada? Kita gunakan untuk ponteng sekolah, pergi ke tempat-tempat maksiat, menendang kawan dan sebagainya. Adakah itu tujuan kaki kita dijadikan?

Mereka : (Menutup mata sambil teresak-esak, semakin kuatlah jerit tangis memikirkan kesalahan yang telah dilakukan selama ini).

Sang Guru : Jika Allah ambil balik mata kepunyaan-Nya? Jika Allah tarik balik kaki yang dipinjamkan-Nya? Jika Allah hilangkan rasa pada lidah? Jika Allah ambil satu jari dari apa yang kita ada?

Wahai diri... engkau faqir dan Allah itu Maha Kaya. Maka mengapa engkau masih menyombongkan diri kepada-Nya?

via Artikel iluvislam.com

Friday, September 9, 2011

Dunia dan Exam, Adakah Sama??

Menanti perubahan dan keajaiban berlaku...

Kenapakah kita sukar untuk menerima sesuatu perubahan diri untuk kebaikan kita?

Tidakkah terfikir akan kita bahawa masa itu sentiasa berjalan dan tidak pernah berhenti berdetik.

Waktu penentuan pula akan tiba tidak lama lagi, tetapi kita sudah terbiasa untuk menangguh dan mengharapkan keajaiban di penghujungnya, realitinya apa yang kita harapkan tidak terjadi.



Adakah kita ini dicipta untuk menjadi manusia yang gagal?

Atau kita sendiri yang menentukannya dan Allah sebagai pembenar atas segala tindakan kita sama ada tindakan kita itu berbentuk usaha atau pun hanya bersenang lenang menikmati arus dunia.

Sedangkan, masa pula berlalu bagaikan air yang mengalir. Demi masa, sesungguhnya manusia benar-benar terleka.

Lihat bahasa analogi yang dirumuskan di bawah ini:

Versi Dunia:
"Saya tunggu seru untuk 'study' sempena exam... matlamat lulus!"

Versi Akhirat:
"Saya tunggu hidayah untuk berubah sempena ke sana... matlamat Syurga!"

Kesimpulannya, usahlah menunggu, ayuhlah kita berusaha mencari seru dan hidayah itu. Nak lulus dan hendakkan Syurga... konsepnya sama sahaja.

Fikirkan apa penghalang kita untuk melakukan sesuatu seperti 'study' contohnya, begitu jugalah penghalang kita untuk melakukan perubahan. Tiada usaha tiada kejayaan.

"No pain no gain."

Berat rasanya kan? Semua antara kita mahukan kejayaan tetapi usahanya tidak kelihatan. Maka, fikir dan renungkanlah. Adakah kita ini dicipta sebagai manusia yang gagal atau sebaliknya?

Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya. Apa guna adanya lulus dan gagal dalam peperiksaan?

Apa guna adanya Syurga dan Neraka untuk hamba-Nya?

"Sama-sama kita renung-renungkan."

via Artikel iluvislam.com

Thursday, September 8, 2011

Nak Jadi Baik Memang Lambat

"Ustaz, saya dulu hafiz al-Quran. Dulu, solat ini memang saya tidak tinggal. Saya semakin hanyut dengan dunia. Sekarang, saya sudah tidak solat. Saya ingin berubah. Masih adakah sinar untuk saya?"

Ustaz N memandang telefon bimbit Masjid Kuning Kota Damansara. Bagus masjid ni. Ada segmen Tanyalah Ustaz. Sesiapa jemaah yang ingin bertanya, boleh menghantarkan SMS.

"Masih ada sinar" Ustaz N menjawab pendek.

Jemaah mengangguk. Kebanyakannya faham sifat al-Ghafur Allah. Jemaah di situ memang boleh letak belakang nama mereka dengan Ahmad atau Abu al-Damansari. Berlumba-lumba duduk di dalam taman-taman Syurga ilmu. Marvellous!

Ustaz N menyambung, "Kembalilah kepada Allah, nak. Allah menciptakan rahmat sebelum menciptakan murka. Pintu taubat terbuka luas. Sibukkan diri dengan kebaikan. Jika anda jatuh, maknanya, masa anda masih banyak yang belum diisi dengan kebaikan."

"SMS masuk, Pak" Telefon Bimbit Tanyalah Ustaz berbunyi lagi.

"Terima kasih, Ustaz. Macam mana nak jadi baik? Apa langkah pertama untuk saya berubah selepas bertaubat?"

Ustaz N tersenyum. "Pernah tidak dengar kisah Abu Hurairah r.a. bertanya kepada baginda Rasulullah s.a.w. tentang seorang yang solat tetapi masih mencuri?"

Jemaah terlopong. Sah, tak dapat nak recall. Ini yang pentingnya hadir di ceramah-ceramah dan kuliah. Dapat peringatan, dapat refresh ilmu, dapat kesedaran. Dapat macam-macam. Best!

Ustaz N menarik nafas dan berkata, "Abu Hurairah r.a. bertanya bagaimanakah orang yang sedemikian? Rasulullah menegaskan, solat orang itu lambat laun akan menyebabkan dia berhenti mencuri."

Jemaah mengiyakan. Mereka teringat firman Allah s.w.t bahawa solat akan mencegah perkara keji dan mungkar.

"Maksud baginda Rasulullah s.a.w. dengan memperbaiki dan meningkatkan mutu solat, dari segi rukun qauli (percakapan), rukun fi'li (perbuatan) dan rukun qalbi (rasa hati), lambat laun solat akan berjaya menjadi benteng kepada amalan keji dan mungkar."

Jemaah berpandangan sesama sendiri. Mereka tersenyum dan mengangguk.

"Kesimpulannya, nak jadi baik memang lambat. Nak membina memerlukan masa. Nak meruntuh sekelip mata. Teruskan bermujahadah untuk istiqamah. Tutup ruang-ruang untuk melakukan kemaksiatan. Isi kehidupan dengan kebaikan. Berkawan dengan kawan-kawan yang baik. Usaha dan terus usaha. Insya-Allah, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita."

Dalam jemaah itu, seorang anak muda tunduk. Matanya berkaca. Dia berbisik:

Ya Allah, dosaku menggunung tinggi, tapi rahmat-Mu melangit luas. Ampunkanlah dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat.

-Artikel Iluvislam.com